KUALA LUMPUR – Seorang wanita mengalami pengalaman pahit apabila ditipu
oleh pemandu teksi dengan dikenakan tambang mahal RM400 untuk perjalanan sejauh
76 kilometer.
Menurut laporan akhbar China Press, jika wanita tersebut tidak mampu
membayar jumlah tambang mahal itu, pemandu tersebut meminta penumpang untuk
‘tidur’ bersamanya.
Insiden tersebut berlaku pada jam 7 pagi, 6 Oktober lalu. Mangsa yang
terlibat enggan mendedeahkan identitinya.
Pada awalnya, mangsa tersebut hanya ingin menggunakan perkhidmatan Grab.
Namun seorang pemandu teksi tersebut memujuknya mendakwa tambang teksinya murah
dan hanya menggunakan meter untuk caj penumpang.
Mangsa berusia 54 tahun itu kemudiannya bersetuju menaiki teksi. Namun
semasa berada dalam kenderaan tersebut, mangsa menyedari pemandu tersebut
menutup meternya dengan sehelai kain.
“Saya tanya dia kenapa tutup meter. Dia asyik elak topik untuk
alihkan perhatian saya,” kata mangsa itu yang mahu pergi ke
terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dari Seksyen
10 Wangsa Maju.
Apabila tiba di destinasinya, pemandu tersebut kemudian meminta tambang
sebanyak RM400 tetapi mangsa hanya mampu untuk membayar RM100 sahaja kerana
menyangka caj dikenakan tidak sampai pun jumlah berkenaan.
Pemandu tersebut selepas itu meminta nombor telefon mangsa dan tidak
membenarkan penumpang tersebut keluar dari teksi terbabit jika berdegil tidak
bayar baki tambang RM300 melalui pemindahan wang ke dalam akaunnya.
“Saya terpaksa beri nombor telefon saya kepadanya. Petang itu, dia
menelefon saya dan tanya kenapa tidak masuk wang. Malah, dia ugut akan
menyiarkan gambar saya dalam laman sosial dengan melabelkan saya penipu.
“Dia juga bergurau jika tiada wang, saya boleh ganti hutang tersebut
tidur bersamanya,” dedah mangsa. Wanita itu turut mendakwa pemandu
teksi tersebut menelefonnya sebanyak tujuh kali mendesak diberikan wang
kepadanya.
Mangsa bagaimanapun membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju
pada jam 2 petang hari yang sama kerana bimbang keadaan keselamatannya mungkin
terjejas.
0 comments:
Post a Comment